Tuesday, 21 June 2011

Pusat rawatan kosmetik perlu pamer lesen KKM

KUALA LUMPUR: Rawatan kosmetik yang membabitkan pembedahan plastik seperti payudara atau hidung perlu dijalankan oleh seorang pengamal perubatan berdaftar yang mempunyai kelayakan, latihan dan pengalaman yang bersesuaian dengan rawatan berkenaan.

Sekiranya rawatan tersebut disediakan di kemudahan jagaan kesihatan swasta pula ia perlu mempunyai lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, orang ramai perlu memastikan kemudahan berkenaan mempunyai lesen daripada KKM yang perlu dipaparkan di tempat yang mudah di lihat di premis itu.

“Orang ramai perlu sedar mengenai hak pesakit seperti mana yang digariskan di bawah Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006 termasuklah untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan perubatannya dan kos rawatan. “Pada masa yang sama, sebelum prosedur dijalankan, pesakit perlu memberikan kebenaran secara bertulis terlebih dulu setelah diberi penjelasan mengenai rawatan secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, pengeluaran lesen atau perakuan pendaftaran oleh KKM adalah mengikut dan terhad kepada skop serta jenis kemudahan atau perkhidmatan jagaan kesihatan yang disediakan selaras dengan kehendak Sekyen 3 dan 4, Akta 586.

Oleh itu, sekiranya rawatan kosmetik tersebut tidak membabitkan rawatan alopatik yang perlu dijalankan oleh seorang pengamal perubatan berdaftar, mereka tidak tertakluk kepada keperluan di bawah Akta 586.

“Rawatan kosmetik yang membabitkan pembedahan sepatutnya tidak boleh dijalankan di klinik kerana skop kemudahan dan perkhidmatan itu memerlukan pesakit masuk wad dan diletakkan bawah pemerhatian selepas pembedahan.

“Sekiranya mereka was-was mengenai rawatan itu, mereka tidak perlu meneruskannya di tempat berkenaan dan boleh mendapatkan pandangan perubatan dari pengamal perubatan yang lain.

ika mereka mengesyaki rawatan diberikan oleh seorang yang tidak mempunyai kelayakan, mereka boleh membuat aduan kepada Majlis Perubatan Malaysia atau Bahagian Amalan Perubatan sebelum meneruskan rawatan tersebut,” katanya Menurutnya, pemantauan yang dijalankan KKM terhadap klinik-klinik swasta adalah terhad kepada kemudahan atau perkhidmatan yang tertakluk kepada keperluan Akta 586.
Antaranya, pematuhan kepada keperluan pendaftaran dan lesen termasuk pembaharuan lesen, pemantauan yang dilakukan berasaskan aduan dan menjalankan aktiviti penguatkuasaan iaitu melalui risikan, serbuan serta pendakwaan, apabila perlu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang wanita yang taksub untuk memiliki payudara menarik dan memuaskan hati teman lelakinya terpaksa menanggung kesakitan kesan daripada pembedahan yang dijalankan di sebuah pusat rawatan kosmetik di ibu kota, tahun lalu.

Mangsa juga kerugian RM13,100 dan menanggung kesakitan sehingga kini akibat pembedahan itu tidak berjaya malah menyebabkan payu daranya bernanah dan kehitaman.

P/s : kita sebagai pegguna perlulah bijak memilih pusat-pusat rawatan kecantikan bagi memastikan kita tidak terpedaya dengan pusat rawatan yang tak ada lesen KKM ini kerana ianya membahayakan diri kita.

Salam Sukses,
Serikandi Fajar

No comments:

Post a Comment