KUALA LUMPUR: Remuk hati seorang bapa berusia 57 tahun apabila mendapati wang simpanan miliknya lebih RM80,000 lesap dicuri anak dan menantunya sendiri.
Mangsa yang kini berkerja sendiri selepas bersara, hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 10 pagi kelmarin apabila meminta pihak bank melakukan pemeriksaan selepas menyedari kehilangan wang simpanannya itu.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan dan tindakan lanjut. Sumber polis berkata, kejadian itu disedari mangsa selepas pergi ke sebuah bank di Bukit Bintang untuk melaporkan kehilangan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan pada masa sama membuat semula kad baharu.
“Selepas kad ATM itu siap, mangsa memeriksa akaun simpanannya sebelum mendapati wang miliknya berjumlah lebih RM80,000 lesap. Tersentak dengan itu, mangsa masuk semula ke dalam bank berkenaan sebelum membuat aduan mengenai kehilangan wang itu.
“Pegawai yang melakukan pemeriksaan memberitahu wang berkenaan tidak hilang sebaliknya sudah dikeluarkan beberapa kali sejak sebulan lalu sebelum mengarahkannya membuat laporan polis,” katanya.
Sumber berkata, sebaik menerima laporan, pegawai polis bersama petugas bank memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) bank berkenaan sebelum melihat kelibat pasangan suami isteri berusia lingkungan 20-an melakukan pengeluaran di beberapa mesin ATM di sekitar Lembah Klang.
“Mangsa yang diminta meneliti rakaman berkenaan hanya mampu menangis apabila mendapati anak perempuan dan menantunya yang mencuri wang miliknya,” katanya.
Beliau berkata, selepas berjaya menghubungi anak perempuannya itu, mangsa mengarahkan pasangan berkenaan supaya memulangkan semula wang yang diambil mereka.
Pada mulanya anak perempuannya cuba berdalih dengan mendakwa tidak tahu menahu mengenai kejadian itu. Namun, selepas bapanya memberitahu dia sudah melihat rakaman CCTV, wanita terbabit terdiam seketika sebelum memohon maaf dan mematikan talian telefon,” katanya.
Difahamkan, sejak kelmarin pasangan terbabit gagal dihubungi dan dikesan.
Sumber berkata, mangsa mengesyaki anak dan menantunya itu mencuri kad ATM miliknya ketika melawatnya di rumah, pertengahan Mei lalu.
Difahamkan, pasangan terbabit yang sudah berkahwin lebih setahun lalu pada mulanya tinggal bersama mangsa, namun berpindah kira-kira empat bulan lalu kononnya mahu hidup berdikari.
Pasangan terbabit yang mengetahui mangsa membuat laporan polis menghilangkan diri, namun usaha mengesan mereka sedang dilakukan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.
Salam Sukses,
Serikandi Fajar
No comments:
Post a Comment