STEFANO Chiarini, kapal penumpang flotila kemanusiaan Freedom Flotilla II yang dinaiki kira-kira 70 sukarelawan antarabangsa, termasuk 10 rakyat Malaysia tidak akan meneruskan pelayaran ke Gaza.
Tindakan itu diambil bagi menyelamatkan kapal penumpang yang didaftarkan di Lome, Togo, untuk misi flotila seterusnya selepas dua kapal, The Audacity of Hope dari Amerika Syarikat dan kapal penumpang Tahrir dari Kanada ditahan dan disita pihak berkuasa Greece kerana cuba belayar tanpa kebenaran.
Ketua misi Malaysia yang juga Pengerusi Lifeline4Gaza (LL4G), Dr Noorazman Mohd Samsuddin, berkata keputusan itu diputuskan jawatankuasa khas diwakili ketua misi dari negara terbabit termasuk Itali, Belanda, Jerman, Malaysia, Switzerland, Austria dan Bosnia yang bermesyuarat petang semalam.
Ia juga ekoran tindakan Pihak Berkuasa Togo yang menelefon peguam flotila kemanusiaan supaya Stefano Chiarini tidak belayar ke Gaza dipercayai akibat tekanan pihak tertentu.
“Selepas mengambil kira semua pertimbangan kita memutuskan Stefano Chiarini tidak akan belayar ke Gaza bagi menyelamatkan kapal penumpang itu untuk misi flotila seterusnya.
“Walaupun kapal tidak belayar, misi flotila berjaya menarik perhatian media di Eropah,” katanya di sini semalam.
Noorazman berkata keputusan itu sejajar dengan pertimbangan jawatankuasa pemandu Freedom Flotilla II untuk menyelamatkan lapan kapal termasuk kapal Perancis Dignity yang kini berpatah balik ke negara itu.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang turut menyertai misi flotila sejak 26 Jun lalu berkata keputusan itu adalah langkah strategik ‘menyelamatkan aset’ flotilla kemanusiaan yang diterajui badan bukan kerajaan (NGO) dari Eropah seperti Free Gaza Movement dan European Campaign To End The Siege on Gaza (ECESG).
Beliau berkata, halangan ke atas kapal flotila itu juga menunjukkan sekatan Israel ke atas Gaza merebak ke negara Mediterranean, hinggalah ke Kepulauan Togo di Afrika.
Pengerusi Aman Malaysia, Datuk Ahmad Zaki Zahid, berkata keputusan itu juga memastikan ‘wang rakyat yang dilaburkan bagi misi kemanusiaan memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza tidak dibazirkan’ jika kapal ditahan atau rosak tanpa sebab-sebab munasabah.
Freedom Flotilla II adalah usaha kolektif masyarakat antarabangsa yang disertai sembilan kapal, termasuk dua kapal kargo yang bertujuan memecahkan sekatan laut ke atas Gaza menyebabkan Israel terpaksa menggunakan segala taktik, termasuk tekanan politik ke atas negara Mediterranean seperti Greece untuk menghalang flotila dari sampai ke Gaza.
Ia disertai 1,000 sukarelawan dari lebih 20 negara termasuk 10 rakyat Malaysia iaitu Dr Noorazman; Khairy; Ahmad Zaki; Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Al Ehsan Islamiah Malaysia, Ismail Darus; pakar perubatan kecemasan dari Hospital Sungai Buloh Dr Wee Tong Ming dan lima wakil media Malaysia termasuk Berita Harian.
Semoga Allah membantu semua golongan yang membantu dan ingin membantu rakyat Gaza,sesungguhnya kita sesama Muslim adalah bersaudara..
Salam Sukses,
Seikandi Fajar
No comments:
Post a Comment