Monday, 1 August 2011

Pertumpahan darah sebagai pembuka Ramadhan

MAKKAH: Umat Islam di seluruh dunia memulakan hari pertama menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan tahun ini di dalam pelbagai suasana, dengan tunjuk perasaan, bantahan dan peperangan masih berterusan di beberapa buah negara.

Pada masa sama, kumpulan aktivis dan laman web berita Islamonline meramalkan tunjuk perasaan untuk mendesak pemulihan sistem demokrasi di sesetengah negara Islam semakin meningkat menjelang 10 hari terakhir bulan yang dianggap paling mulia di dalam kalendar Islam itu.

Di GHAZNI (Afghanistan) sekurang-kurangnya 10 pengawal dari sebuah syarikat keselamatan persendirian terbunuh dalam satu serangan ke atas sebuah konvoi yang membawa bekalan untuk tentera asing semalam.

Jurucakap di pejabat gabenor wilayah, Maroof Ayubi, berkata pertempuran berlaku selepas konvoi terbabit diserang hendap kumpulan pemisah bersenjata di sini.

Sementara itu, dalam satu serangan bunuh diri di luar ibu pejabat polis di bandar Lashkar Gah menyebabkan 12 anggota keselamatan dan seorang kanak-kanak terbunuh.

Di HAMA (Syria) seramai 95 orang terbunuh apabila pasukan tentera menyerang penunjuk perasaan di bandaraya Hama di tengah, Syria, semalam.
“Tentera dan anggota keselamatan memasuki Hama pagi ini dan melepaskan tembakan ke atas orang awam, menyebabkan ramai terbunuh manakala berpuluh yang lain cedera,” kata aktivis kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria, Rami Abdel Rahman.

Beliau berkata, lebih 1,500 orang awam dan 360 anggota keselamatan terbunuh, manakala 12,000 orang ditahan dan beribu-ribu lagi melarikan diri ke Turki sejak tunjuk perasaan tercetus di Syria pertengahan Mac lalu.

Di XINJIANG (China) 10 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam serangan dilakukan dua lelaki etnik Uighur, menggunakan pisau di wilayah ini yang dilanda masalah ketegangan kaum.

Laman web kerajaan tianshannet.com melaporkan, dua suspek merampas trak yang sedang berhenti di lampu isyarat di sebuah pasar di Kashgar dan membunuh pemandunya. Dalam serangan kedua, 10 lagi maut dan empat ditembak mati polis.

Jurucakap kerajaan, Hou Hanmin, berkata dalam kejadian itu, seorang daripada penyerang berjaya dibunuh, manakala seorang lagi ditahan tidak lama kemudian. Punca serangan masih disiasat.

Di ADEN (Yaman) sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh dalam keganasan di Zinjibar yang kini dikuasai kumpulan al-Qaeda, kata tentera dan pihak berkuasa tempatan.

Seorang pegawai tentera berkata, seramai 11 orang termasuk pegawai kanan tentera, terbunuh dalam pertempuran dengan militan di Dofas, 15 kilometer ke selatan Zinjibar.

“Anggota kumpulan al-Qaeda yang berkubu di Dofas, menyerang tentera menggunakan mesingan semalam, menyebabkan dua pegawai dan empat askar terbunuh. Seramai sembilan orang lagi cedera dalam serangan itu,” katanya.

Di RABAT (Maghribi) Raja Mohammed VI mengarahkan sempadan negara itu dengan Algeria dibuka semula dan meminta pilihan raya diadakan apabila 98 peratus rakyat bersetuju dengan pembaharuan politik yang disokong beliau.

Keadaan di Maghribi secara keseluruhannya dilaporkan tegang, manakala penunjuk perasaan meningkatkan desakan supaya proses pembaharuan di negara itu dilaksanakan dengan segera.

Di ABUJA, kerajaan Nigeria akan mengadakan perbincangan terbuka dengan kumpulan Islam berikutan beberapa kejadian letupan bom dan tembakan di timur laut negara itu, kata satu kenyataan kerajaan semalam.

Kenyataan itu menyebut, Presiden Goodluck Jonathan sudah menamakan tujuh anggota jawatankuasa yang akan menghadiri perbincangan termasuk menteri pertahanan, menteri buruh dan menteri Ibu Negara Persekutuan.

Jawatankuasa itu akan mengadakan rundingan dengan puak Islam Boko Haram dan memastikan pasukan keselamatan yang pernah melancarkan kekerasan ke atas kumpulan itu bersikap lebih profesional pada masa depan. – AFP

*Maka kita sebagai rakyat Malaysia bersyukurlah dengan apa yang kita ada hari ini..Selamat berbuka..



Salam Sukses,
Serikadi Fajar

Monday, 25 July 2011

Mahu hapus Islam di Eropah

SUNDVOLLEN (Norway): Lelaki yang dituduh menembak mati 85 remaja di perkhemahan belia dan membunuh tujuh yang lain dengan bom kereta di Oslo, menyiarkan rakaman video di YouTube, menyeru golongan konservatif melancarkan perang salib, enam jam sebelum serangan itu.

Anders Behring Breivik memuat turun rakaman video itu menyeru serangan terhadap umat Islam, dengan rakaman menunjukkan dia memakai pakaian selam tentera laut sambil mengacu senjata automatik, beberapa jam sebelum melakukan pembunuhan yang mengejutkan itu.

Dalam teks video itu dia menjelaskan rancangan serangannya, dengan menulis: ‘Saya akan memakai uniform pegawai polis. Ia pasti menggerunkan kerana orang ramai akan terkejut.’
Dalam dokumen setebal 1,500 halaman, dia menulis bahawa ‘terdapat situasi di mana kekejaman adalah perlu’ dan lebih baik membunuh terlalu ramai daripada tidak mencukupi’.

Sumber polis memberitahu media bahawa Breivik mengaku memuat turun video itu untuk meluahkan pandangan ekstrimnya sebelum serangan itu.

Breivik adalah anggota kumpulan Freemason di Oslo dan mempunyai hubungan dengan Liga Pertahanan Inggeris (EDL).


Dalam satu tulisan, dia menulis: “Saya sudah berbincang dengan EDL dan menyarankan mereka memengutamakan strategi dalam berdepan dengan kebangkitan Islam. “Taktik EDL adalah untuk menarik reaksi berlebihan pergerakan jihad Islam dan pelampau fahaman Marxis.

Rakaman video 12 minit yang bergelar ‘Knights Templar 2083’ turut dilaporkan muncul dalam halaman Facebook Breivik yang sudah ditutup.

Halaman itu memetik ungkapan ahli falsafah seperti Machiavelli, Immanuel Kant dan John Stuart Mill.

Dia juga menyenaraikan Kafka antara penulis kegemarannya dan George Orwel 1984 sebagai satu daripada buku kegemarannya.

Breivik berkata, dia menghantar teks dan rakaman video YouTube, di mana dia bencikan dasar pelbagai budaya dan pendatang Islam kepada 7,000 rakan patriotiknya di Facebook.

Dalam teks bertajuk ‘Deklarasi Kebebasan Bangsa Eropah’ dia menulis bagaimana dia mahu menyingkirkan Islam dan fahaman Marxis di Eropah.

“Ada situasi di mana kekejaman adalah perlu dan enggan melakukan kekejaman yang perlu adalah pengkhianatan terhadap orang yang anda ingin lindungi,” tulisnya.

“Kaedah pilihan adalah menyerang secara ganas.

“Tidak perlu meminta maaf atau meluahkan kekesalan kerana anda bertindak mempertahankan diri atau mengambil langkah berjaga-jaga.”

Menulis sebagai Andrew Berwick, namanya dalam bahasa Inggeris, dia berkata, dia mengambil masa sembilan tahun dan membelanjakan 300,000 euro (RM1.26 juta) untuk menulis manifesto itu.

Dia berkata: “Titisan hujan pertama menandakan kehadiran ombak besar budaya konservatif yang tidak dapat dihentikan. Ombak besar itu akan menghapuskan Eropah Barat daripada budaya Marxisme dan pelenyapan Islam untuk kali ketiga.

Dia juga didakwa mempunyai hubungan dengan sebuah lagi pertubuhan pelampau Kristian, Stop the Islamification of Europe, menurut akhbar Sunday Telegraph. - Agensi



                                            ANGGOTA polis mengumpulkan mayat mangsa 
                                           pembunuhan Breivik di pulau Utoeya, kira-kira 40 kilometer
                                           ke barat daya Oslo, semalam. 



Alhamdulillah kerana negara kita ini masih diberi keamanan dan kesejahteraan semoga ianya kekal hingga ke akhirnya,Amin




Salam Sukses,
Serikandi Fajar

Fitnah makan diri dek menduakan suami..

KUALA LUMPUR: Angkara cinta lama kembali bertaut, seorang wanita sanggup memfitnah suaminya sebagai penyebab dia menghidap HIV ketika membuat tuntutan fasakh (bercerai) di mahkamah syariah.
Semuanya bermula apabila wanita berusia 26 tahun itu dikatakan bertemu semula bekas teman lelakinya menerusi laman sosial facebook dan kembali menjalin hubungan.

Bagi menguatkan hujah tuntutan fasakhnya, dia mereka cerita kononnya si suami menyebarkan HIV kepadanya.

Bagaimanapun, alasan itu umpama ‘senjata makan tuan’ apabila pemeriksaan perubatan mendapati si suami yang berusia 27 tahun itu bebas daripada sebarang penyakit berbahaya, sekali gus membawa kepada pembongkaran wanita terbabit dijangkiti HIV kerana melakukan hubungan seks dengan bekas teman lelakinya.


Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, suami wanita terbabit merujuk kepada SukaGuam minggu lalu bagi mendapatkan pembelaan selepas difitnah isterinya.


Wahai wanita-wanita di dunia,janganlah derhaka kepada si suami kerana syurgamu di telapak kakinya..Ingatlah dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan mintalah keampunan dariNYA nescaya hatimu kan tenang..


Salam Sukses,
Serikandi Fajar

Sunday, 24 July 2011

Terkilan sikap ‘lepas tangan’

KOTA BHARU: Hanya dua harapan ditagih pasangan Mek Wook Kundor, 108, bersama suaminya, Mohd Noor Musa, 39, iaitu agensi pelancongan yang menganjurkan pakej umrah kepada mereka memberi peluang kedua untuk menunaikan haji tahun ini atau mengembalikan wang berjumlah RM34,000.

Mohd Noor berkata, dia terkilan tindakan agensi terbabit yang bersikap ‘lepas tangan’ hingga mereka berdua terpaksa pulang ke Kampung Chat Rimau, Tanah Merah untuk menenangkan fikiran.

“Saya tidak menolak mungkin kenyataan saya di sebuah akhbar baru-baru ini mengenai hasrat kami untuk tinggal di Makkah selama empat bulan menjadi punca permohonan visa kami tidak dikeluarkan.
“Sedangkan saya menjawab atas dasar niat saja, tetapi tidak tahu pula menjadi kesalahan di pihak sana (agensi pelancongan) hingga hajat kami terhalang sama sekali.

“Akibatnya kami terpaksa pulang dengan hampa meskipun persediaan sudah dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, lima bulan lalu dia dan isteri mendaftarkan diri untuk menunaikan umrah sebelum bertemu seorang ejen pelancongan dekat Pasir Tumbor, di sini.


“Kami tertarik untuk ke sana (Makkah) dan membayar kira-kira RM34,000. Semua wang itu hasil simpanan isteri (Mek Wook) sejak sekian lama, selain beribadat kepada Tuhan berikutan usianya semakin meningkat.

“Bagaimanapun, harapan untuk ke sana semakin kabur selepas insiden itu berlaku. Memang mereka tidak menipu kami, tetapi tindakan mereka menyebabkan kami dalam dilema,” katanya.

Mohd Noor yang menikahi Mek Wook pada 2006 berkata, besar harapan mereka untuk ke sana, selain luahan isterinya sejak mereka diijab kabul dan akan ke Makkah jika wang dikumpulkan mencukupi.

“Sebagai suami, saya mahu hajat isteri termakbul ketika umurnya masih panjang. Bila ini berlaku, saya rasa bersalah dan tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kepadanya yang semakin hari semakin uzur.

“Hanya harapan saya, beri kami peluang untuk ke sana. Disebabkan kegagalan untuk ke Makkah, fikiran saya menjadi tidak tenteram,” katanya.

Katanya, sehingga kini agensi berkenaan belum menghubunginya sejak pulang dari Kuala Lumpur ke Tanah Merah pagi kelmarin, termasuk memberi penjelasan atau memulangkan wang mereka.

“Sekarang ni macam-macam saya terpaksa fikirkan, kesihatan isteri, hasrat berdoa di Makkah untuk dijauhi dmasalah, melaporkan diri di balai polis berikutan masih di bawah pengawasan,” katanya.

Harian Metro melaporkan mengenai perasaan terkilan Mohd Noor dan Mek Wook berikutan tidak dapat menunaikan umrah ke Makkah tanpa sebab musabab, walaupun membayar wang RM34,000.

Lebih memilukan, pasangan suami isteri itu hanya diberitahu tidak boleh mengikut rombongan menunaikan umrah ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa jam sebelum ahli kumpulan lain berlepas jam 9.30 pagi semalam.

Sementara itu, usaha wartawan Metro Ahad untuk menghubungi individu yang menguruskan pakej umrah kepada pasangan berkenaan gagal berikutan sudah berangkat ke tanah suci bersama rombongannya, Khamis lalu.

Perkara itu disahkan anak kepada wakil agensi itu, selain tidak tahu mengenai kegagalan Mek Wook dan suaminya menunaikan umrah ke Makkah.


**Semoga Allah permudahkan urusan kedua-dua mak cik dan pak cik untuk ke Tanah Suci Makkah,InsyaAllah..



Salam Sukses,
Serikandi Fajar

Dek kerana CINTA & NAFSU...diri yang merana

KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu memenuhi tuntutan nafsu dan naluri semasanya selain dorongan teman lelaki yang kononnya sanggup berkongsi hidup sepanjang hayat, seorang lelaki nekad membuang alat kelaminnya di Thailand kira-kira 25 tahun lalu demi cinta terhadap kekasih songsangnya.

Namun, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Cinta Mohd Qairun Abidin, 47 (bukan nama sebenar) tersekat di tengah jalan dan kini dia mengalami kecelaruan jantina kerana tidak tahu apa akan berlaku kepadanya, terutama bagaimana dia dikebumikan jika dijemput ajal.

“Tiada kesudahannya. Selepas menanggung derita pembedahan demi kekasih, kita dikecewakan dan akhirnya hilang tujuan hidup yang boleh membuatkan kita hilang pedoman hingga cuba bertindak di luar batas agama kerana ingin bunuh diri.

“Tindakan melakukan pembedahan jantina biasanya berlaku akibat desakan naluri atau pihak ketiga kononnya kerana cinta, tetapi saya percaya dorongan pihak ketiga lebih kuat daripada naluri seseorang individu dan akhirnya individu itu akan menanggung derita sendirian,” katanya yang mengubah jantina melalui pembedahan.

Mohd Qairun atau dulunya dikenali sebagai Baby@Katie yang masih mempunyai nama lelaki pada kad pengenalannya mendakwa, pembedahan dilakukannya banyak mengubah cara hidupnya kerana membawa kebahagiaan, namun ia hanya bersifat sementara.

“Mungkin itu yang dikatakan kemewahan dan kesenangan dunia kerana saya akhirnya hanya memperoleh keseronokan sementara... betapa tidak, ketika itu saya menjadi pujaan ramai, malah memiliki teman lelaki yang berjanji sehidup semati.

“Namun bila kita sudah ‘berkedut’, semua janji tinggal janji dan akhirnya derita hidup ditanggung sendiri. Ketika itu segala sesalan tidak lagi berguna, kepada siapa kita hendak mengadu, kepada keluarga? Mereka juga dicerca masyarakat kerana tindakan saya. Akhirnya, kepada rakan ‘sealam’ juga saya kembali,” katanya.

Menceritakan keperitan hidup selepas menjadi ‘isteri’, Katie berkata, dia dan teman lelakinya tinggal sebumbung hampir 15 tahun dan sepanjang hidup bersama, kehidupan bersama seorang pengusaha restoran itu bahagia.

“Saya dibelikan kereta, dibawa berjalan ke luar negara dan diterima oleh sebahagian besar ahli keluarganya, malah dia menanggung pembedahan dan perbelanjaan harian saya.

“Memang ketika itu ada perkhidmatan pembedahan murah berhampiran sempadan Thailand iaitu di Hat Yai, tetapi ia disediakan secara haram.

“Kerana mahu pembedahan secara sah, saya terpaksa melakukannya di Bangkok, Thailand yang lebih murah berbanding di Singapura,” katanya.

Menurutnya, hampir setahun dia menderita akibat pembedahan, terutama ketika membuang air, namun semuanya diatasi dengan belaian dan kasih sayang diberi kaum sejenis hinggalah dia benar-benar pulih daripada kesan pembedahan.

“Ketika itu saya tidak menyesali tindakan membuang alat kelamin, malah bangga kerana mampu memiliki insan yang benar-benar menyayangi saya dan menjamin masa depan, namun kami masih menghadapi masalah untuk berkahwin akibat masalah dokumentasi dan konflik agama.

“Pernah kami cuba kahwin di luar negara tetapi dihalang keluarga, menyebabkan kami nekad untuk terus hidup bersama tanpa ikatan, namun panas yang disangka hingga ke petang tidak menjadi apabila teman lelaki mula beralih arah kepada orang lain yang juga pondan.

“Selepas 10 tahun kami bersama dan melakukan apa saja untuknya, saya ditinggalkan begitu saja, mengakibatkan saya terpaksa kembali bergelumang dalam dunia mak nyah jalanan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ‘kerjaya’ di lorong gelapnya tidak lama apabila dia mula beralih arah ke bidang lain, iaitu bidang perhotelan yang diteruskan sehingga sekarang.

“Mana tahan ketika itu, hampir setiap hari saya ditahan pihak berkuasa, namun ada ketikanya saya terlepas tindakan apabila mengaku sebagai wanita.

“Malah, ada anggota polis meminta maaf kepada saya kerana berkasar kerana menyangka saya wanita, namun ada kalanya saya tertangkap jika kad pengenalan saya diteliti,” katanya.

                                          KONGSI... Baby berkongsi sebahagian cerita hidupnya
                                            dengan wartawan Metro Ahad. 


Wahai insan-insan semua ingatlah kehidupan yang sementara dalam hidup ini kerana akhirat adalah tempat kekal abadi dan ingatlah bahawa bestnya buat dosa dan noda tapi yang pasti best itu hanya sekejap je dan yang kekal hanyalah kepahitan menanggung kifarah dariNya.Ingatanlah jika anda rasa penat buat kebaikan tapi ingat kepenatan itu akan hilang dan anda akan rasa kemanisan berbuat baik.InsyaAllah..



Salam Sukses,
Serikandi Fajar

Monday, 11 July 2011

Kecewa suami curang

MUAR: “Panggil suami aku datang sini, kalau tidak aku bunuh diri,” kata seorang wanita yang dikenali sebagai Suriani, 30, ketika cuba terjun dari Jambatan Kedua Muar di sini, kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

Tindakan nekad wanita berkenaan mendapat perhatian orang awam yang selepas itu melaporkan kejadian kepada polis.


Kira-kira lima minit kemudian, polis tiba di lokasi lalu cuba memujuk wanita berkenaan supaya tidak meneruskan hajatnya.

Bagaimanapun, wanita bersenjatakan sebilah pisau itu beberapa kali meminta suaminya datang ke tempat kejadian.


Katanya, jika permintaan itu tidak dipenuhi, dia akan terjun dari jambatan selain mengelar lehernya menggunakan pisau di tangannya.

Difahamkan, wanita terbabit bertindak sedemikian selepas mengetahui hubungan sulit suaminya bersama seorang wanita lain.

Berikutan itu, dia yang tidak berpuas hati melarikan diri dari rumahnya di Tanjong Agas dekat sini, sebelum menuju ke jambatan berkenaan.

Kakaknya, yang dipanggil polis bagi memujuknya terlebih dulu tiba di lokasi, bagaimanapun wanita itu gagal ditenteramkan, malah tetap mahu suaminya datang untuk menyelesaikan masalah.

Selepas beberapa kali mengugut mahu membunuh diri, akhirnya polis akur dengan permintaan Suriani dan mencari suaminya.

Kira-kira 10 minit kemudian, suaminya berusia sekitar 30-an tiba di lokasi dan berjaya memujuk isterinya bertenang serta menyelesaikan masalah melalui perbincangan.

“Kita selesaikan perkara ini cara baik,” teriak lelaki itu dengan jarak kira-kira 50 meter dari isterinya.

Suriani yang berpuas hati dengan pujukan suaminya, kelihatan tenang sebelum turun dari palang jambatan dan menyerah diri kepada polis.

Suami isteri berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar mengapa wanita terbabit mahu membunuh diri.

Pada masa sama, katanya, polis merampas sebilah pisau digunakan wanita itu.

“Kami percaya kejadian berpunca masalah peribadi dirinya dan suami,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Sekyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh diri di mana jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


                                           PUJUK...Suriani dipujuk suaminya selepas cubaan 
                                          membunuh diri di Jambatan Kedua Muar, petang semalam. 


Setiap manusia akan menerima musibah dan masalah tapi janganlah mencari penyelesaian yang boleh membawa bencana kepada diri sendiri..Sesungguhnya membunuh diri adalah haram dan takkan bau syurga jika kita sebagai orang Islam cuba membunuh diriSesungguhnya terdapat banyak salura lain untuk menyelesaikan masalah ini.Semoga kejadia ini menjadi pedoman kepada diri dan semua



Salam Sukses,
Serikandi Fajar

Janda Glamor

MARANG: Berbekalkan sepotong kain batik yang dipuja dikenali sebagai kain ular berlaki atau mengawan, seorang wanita mendakwa pernah memiliki lebih 200 teman lelaki sepanjang lima tahun dia menjanda, sejak 2003 sebelum berkahwin semula pada 2008.

Akibat terlalu mengikut nafsu dan ghairah mendapat kasih sayang lelaki, wanita yang mahu dikenali sebagai Nora, 50, dari bandar ini berkata, ketika zaman ‘gemilang’nya itu dia bukan saja berjaya memancing lelaki bujang berusia 30 hingga 60 tahun, malah menjalin hubungan dengan suami orang.


Nora yang kini bergelar nenek mendakwa dia memiliki sepotong kain dinamakan kain ular berlaki yang mampu menarik minat lelaki kepadanya selain minat mendalamnya mempelajari ilmu kebatinan sejak remaja bagi menambahkan seri wajahnya.

“Kain yang tersimpan sejak 34 tahun lalu itu saya dapat daripada seorang wanita di bandar ini dan bermula daripada situ hidup saya berubah apabila sering menjadi tarikan lelaki.


“Kain batik itu istimewa kerana ada sepasang ular mengawan di bawahnya. Ia kemudian dipuja dengan ayat tertentu yang saya tidak tahu sebelum boleh digunakan sebagai penyeri, pelaris dan pengasih,” katanya.

Nora berkata, cara penggunaan kain itu mudah iaitu hanya disimpan di dalam beg atau dompet, namun perlu berhati-hati kerana ia tidak akan mujarab jika suami atau lelaki tahu mengenai kewujudan kain itu dalam simpanannya.

Nora berkata, melihat dirinya menjadi tarikan lelaki, ibu bapanya menyuruhnya berkahwin pada 1981 dan mendapat sembilan anak.

“Walaupun sudah berkahwin, masih ada lelaki yang mahu mendekati, tetapi saya pandai menyembunyikan rahsia itu daripada pengetahuan suami,” katanya yang kini mempunyai 10 cucu.

Menurutnya, akibat pergolakan rumah tangga berikutan diburu lelaki yang terpaut dengannya, dia bercerai pada 2003 dan dalam menjanda selama lima tahun.

Berbekalkan kain ular berlaki itu, dia memikat ramai lelaki untuk menjadi kekasihnya dan sepanjang lima tahun menjanda dia mendakwa mempunyai lebih 200 teman lelaki.

Bagaimanapun, Nora berkata dia tidak pernah melakukan hubungan seks dengan mereka, sebaliknya sekadar berseronok seperti berbual dan keluar minum bagi menghilangkan kebosanan.

“Bagi mendapatkan lelaki bagaikan memetik jari dan mereka akan mendekati sama ada meninggalkan nombor telefon atau mempelawa saya keluar bersiar-siar,” katanya.

Nora yang bekerja sebagai peniaga sambilan produk kecantikan berkata, dia mempercayai kain yang dipuja itu memberi kuasa dalam hidupnya hingga mudah mendapatkan lelaki tanpa perlu berkata-kata.

Menurutnya, selepas lima tahun menjanda, dia berkahwin kali kedua dengan seorang lelaki berusia 10 tahun lebih muda daripadanya pada 2008.

“Bagi menguji keberkesanan kain itu, saya pernah meletakkannya di dalam dompet suami tanpa pengetahuannya dan tidak lama selepas itu, suami hilang nafsu seks kepada saya,” katanya.

Namun katanya, lama-kelamaan kain itu menimbulkan banyak masalah kerana dia masih menjadi tumpuan lelaki sehinggakan untuk sukar menjalankan urusan harian selain bimbang tembelangnya mempunyai ramai kekasih diketahui keluarga dan rakan.

“Saya sudah tua dan hidup pada usia ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencari keredaan Ilahi atas kesilapan lampau,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata umat Islam haram mempercayai perkara tahyul dan khurafat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh berkata, mempercayai unsur yang tidak diajar agama boleh menjejaskan akidah seseorang kerana setiap yang dijadikan Allah adalah sempurna.

“Orang Islam sepatutnya tidak menjadikan makhluk lain seperti jin dan syaitan sebagai tempat untuk mereka meminta pertolongan bagi tujuan tidak baik.

“Justeru itu, mereka yang sudah terlanjur mengamal ilmu tidak menepati syariat Islam wajib meninggalkan perbuatan itu dan pulang ke pangkal jalan selain mendalami ilmu agama dengan lebih sempurna,” katanya.
P/s : peringatan kepada diri dan semua sahabat-sahabat,ambillah iktibar dari cerita ini,ingatlah mempercayai selain Allah,adalah syirik,sama ada kita sedar atau tak sedar.



Salam Sukses,
Serikandi Fajar